Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin hubungan kerjasama dengan Brazil mampu meningkatkan tahap ekonomi dua negara sekali gus membasmi masalah kemiskinan dan kebuluran.
Katanya, hubungan akrab dengan Presiden Brazil, TYT luzi Inacio Lula da Silva, telah membuka peluang kepada banyak perkara baharu daripada pelbagai bidang teknologi, digital dan industri halal.
“Kami menyatakan komitmen untuk bekerjasama rapat bagi mempromosi dan melindungi kepentingan negara-negara membangun, khususnya dalam membasmi kemiskinan dan kebuluran.
“Kami turut senada dan sepakat untuk meningkatkan hubungan dua hala kedua-dua negara khususnya dalam bidang pengurusan hutan, sektor tenaga hijau, perubahan iklim, industri halal, sains dan inovasi,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Ahad.
Dalam pada itu, Anwar turut mengucapkan terima kasih atas tindakan kemanusiaan presiden tersebut yang menyatakan sokongan ke atas Palestin.
Anwar juga memaklumkan bakal menerima undangan Presiden Lula bagi mengadakan lawatan rasmi ke Brazil pada November nanti.
Baca juga: