Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafiankan dakwaan pihak mereka discaj barisan penjawat awam dan pesara daripada mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) sebagai langkah penjimatan kewangan negara.
Kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, pihaknya menafikan laporan media yang mengatakan pesakit daripada penjawat awam dan pesara dipaksa discaj daripada mendapatkan rawatan.
KKM berkata, adalah penting untuk menjelaskan beberapa salah tanggapan berhubung perkhidmatan kardiologi di negara ini dan hubungan kerjasama antara KKM dan IJN.
Katanya, sehingga 1992, IJN dikendalikan di bawah Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL), namun ia kini sebuah entiti korporat milik kerajaan, khusus dalam perkhidmatan kardiovaskular dan kardiotoraks.
“Sepanjang dua dekad lalu, IJN dan KKM kekal sebagai rakan kongsi lama, dengan IJN memberi sokongan kepada hospital awam melalui rujukan pesakit.
“Ketika ini, 10 hospital KKM menawarkan perkhidmatan kardiologi dan tujuh menyediakan perkhidmatan kardiotoraks seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
KKM berkata, bersama-sama dengan hospital terbabit, IJN berfungsi sebagai pusat rujukan untuk pesakit yang memerlukan perkhidmatan kardiologi dan kardiotoraks, termasuk penjawat awam, pesara bersama tanggungan mereka.
Katanya, bertentangan dengan implikasi artikel berkenaan, hospital KKM mempunyai kemudahan lengkap dan dikendalikan pakar perubatan serta pakar bedah bertauliah, yang menawarkan perkhidmatan setanding dengan IJN.
“Strategi merujuk kes yang rumit dan kritikal kepada IJN adalah bagi mengoptimumkan penggunaan sumber dan memastikan akses orang awam kepada perkhidmatan hospital KKM.
“Jadi, berkongsi beban pesakit dengan IJN tidak boleh disalah anggap sebagai sebarang bentuk ketidakupayaan oleh hospital KKM,” katanya.
Baca juga: