Seramai 66 warga asing termasuk empat majikan rakyat tempatan ditahan dalam Ops Gegar di Johor pada Jumaat dan Sabtu lalu oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor.
Pengarah JIM Negeri Johor, Baharuddin Tahir berkata, fokus utama operasi tersebut terarah kepada pusat-pusat refleksologi, premis hiburan dan restoran yang dipercayai mengambil pekerja asing tanpa pas yang sah.
“Sehubungan itu, kesemua 62 tahanan warga asing itu melibatkan lima lelaki dan 37 perempuan warga Thailand, tujuh lelaki (Myanmar), empat perempuan (Vietnam), satu lelaki dan dua perempuan (Indonesia), dua perempuan warga China.
“Manakala, dua lagi lelaki dan satu perempuan (Sri Lanka) dan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 18 hingga 54 tahun. Seterusnya, empat lelaki warga tempatan yang juga dipercayai penjaga premis berusia antara 21 hingga 43 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, semua yang ditahan dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) iaitu tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia; Seksyen 15(1)(c) iaitu tinggal lebih masa.
Selain itu, Peraturan 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu salah guna Pas Lawatan Sosial (PLS) dan Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan.
“Oleh itu, kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Pekan Nenas untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.
Dalam masa sama, JIM Johor mengesan ramai warga asing menyalahgunakan kemudahan untuk tinggal di Malaysia dan bekerja secara haram serta terlibat dengan aktiviti tidak bermoral.
Susulan itu, JIM tidak akan berkompromi dan akan meneruskan operasi penguatkuasaan malah akan menggempur lokasi-lokasi panas di seluruh Johor.
Pihak JIM juga meminta kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) yang layak menyertai Program Repatriasi Migran yang berkuat kuasa mulai 1 Mac hingga 31 Disember 2024.
Baca juga: