Polis cekup individu seludup, edar dadah di Melaka

Polis menahan seorang lelaki disyaki terbabit dalam sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah termasuk cecair vape mengandungi ganja di Melaka pada Ahad.

Suspek berusia 45 tahun itu ditahan bersama dadah jenis ganja seberat 41.28 kilogram dan 300 unit cecair ganja dianggarkan bernilai RM130,971 oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Melaka di kawasan rehat dan rawat (R&R) Ayer Keroh, arah selatan, Lebuh Raya Utara Selatan, kira-kira pukul 1.35 tengah hari Ahad lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Zainol Samah, berkata, hasil risikan polis mendapati sindiket terbabit mula aktif sejak awal 2023.

“Semua dadah yang dirampas itu dipercayai boleh digunakan seramai 206,405 penagih,” katanya dalam satu kenyataan.

Zainol berkata, semakan rekod dijalankan mendapati suspek yang bekerja sebagai penghantar barang itu mempunyai satu rekod dadah lampau mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan ujian saringan air kencingnya adalah negatif. 

“Suspek direman tujuh hari bermula 26 hingga 30 Mac ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952,” katanya.

Beliau berkata, polis Kontinjen Melaka sentiasa berharap masyarakat dapat terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah di kawasan masing-masing. 

Difahamkan, maklumat juga boleh disalurkan melalui talian hotline JSJN di talian 012-2087222.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat