Rendang tok merupakan makanan tradisi dari Perak yang terkenal untuk disajikan buat orang ramai, khususnya pada sambutan hari perayaan dan kenduri-kendara.
Menggunakan daging, santan, kerisik dan pelbagai bahan lagi sebagai bahan asasnya, ramai anak jati Perak mulai mengambil kesempatan resepi secara turun-temurun ini digunakan untuk berniaga.
Nur Huda Mat Isa, 51, merupakan salah seorang usahawan yang mengusahakan penjualan rendang tok di sekitar daerah Kinta, Perak selama lebih 30 tahun.
Ketika ditanya mengapa memilih untuk menjual hidangan tersebut, Huda menyatakan dirinya mahu menyambung warisan daripada keturunannya yang terdahulu.
“Resipi rendang tok yang saya jual ini merupakan resipi warisan daripada nenek saya yang kemudiannya diturunkan kepada ibu dan kini diteruskan oleh saya,” katanya ketika ditemui Malaysia Bangkit.
Nur Huda turut menyatakan waktu penyediaan rendang tok memakan masa yang agak lama, terutamanya untuk mendapatkan hasil hidangan yang diingini.
Disebabkan memerlukan masa yang lama untuk masak, Nur Huda akan mulai memasak Rendang Tok seawal pukul 8 pagi dan berlarutan sehingga 4 petang, di mana hidangan yang telah siap akan diletakkan di gerai miliknya di tiga buah bazar Ramadan sekitar Perak.
Selain ditemui berniaga di Bazar Ramadan Batu Gajah, Nur Huda juga berniaga di Bazar Ramadan Stadium Indera Mulia, Ipoh dan Bazar Ramadan Medan Gopeng.
Nur Huda menyatakan buat masa ini dia masih mengekalkan harga rendang tok sebanyak RM60 untuk satu kilogram meskipun terkesan dengan kenaikan harga barangan pada masa kini.
“Saya memilih untuk mengekalkan harga tersebut dan mengabaikan peningkatan kos barangan mentah kini demi kepuasan pelanggan yang tetap setia membeli juadah yang saya jual kepada orang ramai.
“Selain rendang tok, saya juga menjual serunding ayam dan daging termasuk set lemang dan ketupat yang dilengkapi dengan rendang tok dan serunding pilihan pelanggan,” ujarnya.
Baca juga: