Tambah ilmu pengetahuan solat lebih terperinci buat para mualaf – JAWI

Seminar Pemantapan Ibadah ‘Perbaiki Solatku’ yang telah diadakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bertujuan untuk menambahkan ilmu pengetahuan solat dengan lebih terperinci kepada para mualaf pada Selasa.

Seminar tersebut bertempat di Dewan Al Ghazali, Masjid Al Imam Al Ghazali, Bandar Menjalara, Kepong, Kuala Lumpur telah dihadiri seramai 40 peserta mualaf daripada pelbagai latar belakang.

Menerusi akaun Facebook rasmi JAWI, perkongsian ilmu dan pengalaman berkaitan pemantapan solat telah diberikan oleh Pegawai Dakwah, PERKIM Kebangsaan, Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah.

“Seminar ini memberikan ruang dan peluang kepada para peserta untuk mengendalikan pembentangan kumpulan berdasarkan kefahaman yang diperolehi sepanjang sesi ceramah dilaksanakan.

“Komitmen dari para peserta amat memuaskan dan seminar ditangguhkan dengan penyampaian cenderahati kepada penceramah,” katanya menerusi hantaran Facebook rasmi JAWI.

Justeru itu, pihak JAWI membawa harapan besar bahawa seminar tersebut dapat mengukuhkan ibadah para mualaf khususnya ibadah solat dan umumnya akidah Islamiah sebagai usaha dan langkah untuk melahirkan mualaf yang berkualiti.

Baca juga: