Seluruh lapisan masyarakat perlu melibatkan diri dalam aktiviti yang mewujudkan kesedaran penyakit malaria, tuberkulosis (tibi) dan kusta untuk memahami dengan lebih lanjut mengenai penyakit berkenaan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Program Sambutan Hari Malaria, Tibi dan Kusta Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Ahad.
“Sambutan tersebut menjadi platform advokasi bagi menggalakkan kolaborasi antara pelbagai agensi dalam meningkatkan keberkesanan strategi mengawal penyakit tersebut,” kata kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Untuk info, Hari Tibi Sedunia disambut pada 24 Mac setiap tahun untuk memperingati sejarah penemuan bakteria mycobacterium tuberculosis oleh Dr Robert Koch pada 24 Mac 1882.
Di samping itu, Hari Malaria Sedunia pula disambut pada 25 April setiap tahun dan Hari Kusta Sedunia disambut setiap 28 Januari.
Hari Kusta Sedunia pada tahun ini disambut dengan tema ‘hentikan kusta’, yang menyeru kepada semua individu, masyarakat, agensi kerajaan dan bukan kerajaan serta pihak berkepentingan yang lain untuk sama-sama mencegah usaha penularan dan menghentikan jangkitan kusta di Malaysia.
Turut hadir di majlis tersebut, Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Dr Anita Suleiman; Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Asits Sanna; Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS, Datuk Dr Mohd Yusof Ibrahim dan pegawai-pegawai kanan KKM.
Baca juga: