Hiburan

Filem ‘Sheriff’ bakal melebarkan sayap ke Hong Kong

Sebuah filem arahan Syafiq Yusof, yang memaparkan kehidupan kepolisan berjaya meraih kutipan sebanyak lebih RM58.5 juta, berjudul ‘Sheriff’ bakal ditayangkan di Hong Kong bermula 6 Jun depan.

Perkara itu didedahkan oleh pihak Skop Productions yang menyatakan filem tersebut berjaya menarik minat wakil dari syarikat pengedaran filem, Warner Bros di Hong Kong ketika diundang menyaksikan filem tersebut pada malam gala, 16 April 2024.

Memetik laporan Scoop, ketika menghubungi Penerbit Skop Productions, Datuk Yusof Haslam, menyatakan ianya merupakan satu permulaan yang baik buat filem-filem tempatan melebarkan sayap ke negara luar.

“Sewaktu tayangan malam gala Sheriff, kita memang ada mengundang wakil Warner Bros di Hong Kong untuk datang menyaksikan filem ini. Tidak sangka pula ia berjaya menarik minat mereka untuk menayangkan Sheriff di sana.

“Bagaimanapun saya masih tidak berapa pasti berapa jumlah pawagam yang akan menayangkan Sheriff di Hong Kong.

“Hal itu masih lagi dalam perbincangan. Apa yang pasti, Warner Bros di Hong Kong sudah mendapat kelulusan daripada ibu pejabat Warner Bros di Amerika Syarikat untuk menayangkan Sheriff.

“Namun, mereka meminta pihak kami untuk menukar tajuknya kepada Mass Killer ‘Sheriff’ tetapi bahasa asal filem ini masih lagi dikekalkan bersama sari kata dalam bahasa Inggeris serta Mandarin,” katanya.

Dalam pada itu, Yusof turut berkata, filem Sheriff juga bakal ditayangkan di pasaran Indonesia bermula 23 Mei ini.

Baca juga :

Related Articles

Check Also
Close