Negeri

3 maut, kereta dipandu masuk parit

Tiga individu maut termasuk dua beradik selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki hilang kawalan dan terbabas di Kilometer 14.3 Lebuhraya Sultan Iskandar pada Sabtu.

Kejadian pada pukul 8.11 pagi itu mengorbankan seorang lelaki, Chu Wei Yean, 28, dan dua wanita, Aw Siew Chern, 35, serta Chu Wan Rou, 31.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintenden Yusof Othman berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila MPV Toyota Alphard dipandu wanita berusia 31 tahun itu datang dari Bukit Indah menghala ke Johor Bahru hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan.

“MPV berkenaan terjuman dalam parit dengan kedalaman air kira-kira tiga meter kerana baru lepas hujan.

“Akibatnya pemandu bersama penumpang lelaki yang merupakan adiknya dan seorang rakan wanita maut di tempat kejadian kerana kecederaan dalaman,” katanya.

Beliau berkata, semua mangsa terperangkap di tempat duduk kenderaan.

Tambah beliau, kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut diminta menghubungi pihak polis dan menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Hafiz Aminuddin 011-35807871,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Penguasa Bomba Kanan I Haizrul Rahmad berkata, seramai 12 anggotanya dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan satu Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Semua mangsa terperangkap dalam kenderaan dan pihak bomba bertindak mengeluarkan semua mangsa menggunakan tali dan ‘stetcher’,” katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang hadir di tempat kejadian.

Katanya, semua mayat diserahkan kepada pihak polis dan operasi tamat pada pukul 8.40 pagi.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close