Menunaikan haji dan umrah merupakan suatu ibadah yang dituntut untuk memenuhi rukun Islam kelima khususnya buat Muslim yang mampu bukan sahaja dari segi kewangan, malah kemampuan dari sudut fizikal dan mental.
Di sebalik kesibukan dan cabaran akademik, seorang pelajar universiti berjaya menunaikan ibadah haji pada usia muda.
Farqhan Addeen Shaiful Bahri, 23, menceritakan bagaimana dirinya berjaya mencapai impian tersebut dan berkongsi pengalaman serta cabaran yang dihadapinya.
Menurut Farqhan, kecekapan dan ketelitian ibunya dalam membuka akaun Tabung Haji dan mendaftarkannya untuk melaksanakan haji sejak usia 7 tahun pada tahun 2008 adalah sebab utama dia berpeluang menunaikan haji pada tahun 2024.
“Alhamdulillah, dengan rezeki dan perancangan awal oleh ibu, saya dapat menunaikan haji pada usia muda,” kata Farqhan dengan penuh kesyukuran ketika ditemui Malaysia Bangkit.
Dorongan utama bagi Farqhan untuk menunaikan haji pada usia muda adalah kerana dirinya masih mempunyai tenaga dan fizikal yang kuat.
“Saya mahu memberi fokus sepenuhnya dalam melaksanakan ibadah ini. Walaupun saya masih belajar di universiti, saya tidak teragak-agak untuk menerima tawaran ini kerana ia adalah rukun Islam kelima,” jelasnya.
Menguruskan masa antara persediaan haji dan komitmen akademik bukanlah satu tugas yang mudah. Namun, dengan kemudahan digital yang disediakan oleh pihak Tabung Haji, Farqhan berjaya mengimbangi kedua-dua tanggungjawab ini.
“Saya menggunakan nota digital yang disediakan dan menghadiri kursus intensif selama 12 minggu yang diadakan secara bersemuka. Saya membahagikan masa antara pengajian dan persediaan haji dengan efektif,” ujarnya.
Cabaran terbesar yang dihadapi oleh Farqhan adalah membuat keputusan sama ada untuk menangguhkan pengajian satu semester atau terus terikat dengan pengajian ketika menunaikan haji.
Namun, dia tetap bertekad untuk menyempurnakan ibadah tersebut seawal usia kerana berpendirian bahawa akhirat adalah segalanya.
Dalam pada itu, Farqhan menyedari bahawa menunaikan haji bukan hanya untuk mereka yang berusia, tetapi juga bagi yang mampu dari segi fizikal dan mental.
“Saya telah bersedia sejak awal kerana sudah mengetahui tahun peruntukan yang diberikan oleh pihak Tabung Haji untuk saya menunaikan ibadah ini,” katanya.
Farqhan juga menasihatkan pelajar universiti lain yang bercadang untuk menunaikan haji agar membuat persediaan awal dan membahagikan masa belajar dengan bijak.
“Terdapat banyak perkara tentang ilmu ibadat haji yang perlu dipelajari sebaik mungkin. Dengan adanya peluang emas ini, kita harus memberikan penekanan utama,” tambahnya.
Farqhan turut menyatakan pengalaman ini telah mengubah perspektifnya mengenai kehidupan, terutama sekali apabila manusia sering leka dengan dunia, mengejar harta, takhta dan nama.
“Ibadah haji benar-benar mengajar bahawa semua manusia adalah sama dan hanya mengejar satu perkara iaitu reda Tuhan,” kata Farqhan mengakhiri ceritanya.
Baca juga: