Pemain professional badminton negara, Lai Pei Jing mendakwa dirinya ditipu rakannya sehingga hilang RM400 ribu melalui tawaran kerja palsu pada Jumaat.
Lai memaklumkan perkara tersebut menerusi satu hantaran di Instagramnya dengan menyatakan beliau ditipu setelah diperkenalkan kepada perisian bernama DOBEVIL oleh rakannya.
“Pada mulanya saya teragak-agak tetapi akhirnya mencubanya kerana kebimbangan kerjaya saya dan ketidakpastian mengenai masa depan saya ketika selepas bersara nanti.
“Biasanya, saya tidak akan mengganggu atau mencuba perkara ini, tetapi pada masa itu, saya kecewa dengan kerjaya saya. Saya tidak dapat mencapai sebarang keputusan, yang membuatkan saya bimbang tentang prospek masa depan saya selepas bersara.
“Sepanjang proses itu, memang saya ada banyak keraguan, tetapi setiap kali ada syak wasangka atau soalan, saya terus bertanya kepada rakan yang memperkenalkan perisian ini kepada saya dan bukannya saudara terdekat dan rakan-rakan saya.
“Kepercayaan saya terhadap rakan saya kekal kuat walaupun saya mengesyaki ditipu, saya juga tertanya-tanya sama ada rakan saya itu juga adalah salah seorang mangsa penipuan,” jelasnya lagi.
Beliau turut menasihati orang ramai untuk lebih berwaspada dan mengambil iktibar dari apa yang menimpa dirinya supaya tidak ada pihak lain yang turut terjerat dengan penipuan tersebut.
Sebelum ini, Lai dilaporkan meminta ruang diberikan kepadanya dan keluarga untuk bertenang selepas menjadi mangsa penipuan yang mengakibatkan hampir semua wang simpanannya di dalam bank lesap pada 3 Jun lalu.
Baca juga: