Satu lawatan pemantauan kerja-kerja menaik taraf fasiliti di MAEPS telah diadakan pada Sabtu sebagai persediaan menjelang penganjuran Pertunjukan Pertanian, Hortikultur dan Agrotourisme Malaysia (MAHA 2024).
Pemantauan tersebut diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Lokman Hakim Ali, bersama Sekretariat MAHA 2024, Bahagian Pembangunan, Bahagian Kewangan, dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
“Tumpuan utama tinjauan melibatkan kerja-kerja menaik taraf di beberapa kawasan penting termasuk Laman Tiba, segmen Magical at Night, Laman Padi, Laman Nanas, dan Laman Perikanan.
“Selain itu, bagi memastikan keselesaan dan kebajikan pengunjung, pihak KPKM turut meninjau kawasan parkir alternatif di sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM),” kata kenyataan yang dikeluarkan KPKM.
MAHA 2024 merupakan pameran pertanian terbesar di Asia Tenggara yang akan berlangsung dari 11 hingga 22 September 2024.
MAHA akan menyambut 100 tahun penganjurannya pada 2024 dan bakal menawarkan pelbagai kelainan serta pengalaman baru kepada para pengunjung.
KPKM berkomitmen untuk memastikan persiapan berjalan lancar dan segala fasiliti berada dalam keadaan terbaik bagi menerima kehadiran pengunjung dari dalam dan luar negara.
Persiapan rapi tersebut adalah untuk memastikan MAHA 2024 menjadi pameran yang tidak hanya memperlihatkan kemajuan sektor pertanian Malaysia tetapi juga sebagai platform pertukaran ilmu dan teknologi terkini dalam bidang pertanian.
Para pengunjung dijangka akan menikmati pelbagai segmen menarik dan interaktif yang disediakan di MAHA 2024, menjadikannya satu acara yang dinanti-nantikan setiap dua tahun sekali.
Dengan penekanan terhadap kelestarian dan inovasi dalam sektor pertanian, MAHA 2024 dijangka akan memberikan impak besar kepada perkembangan sektor demikian di peringkat nasional dan antarabangsa.
KPKM berharap semua pihak yang terlibat akan terus memberikan kerjasama penuh bagi memastikan penganjuran MAHA 2024 berjalan lancar dan mencapai matlamat yang telah ditetapkan.
Baca juga: