Negeri

Abang ipar OKU hilang, polis teruskan operasi mencari

Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis telah menerima satu laporan polis yang dibuat oleh pengadu yang merupakan adik ipar orang hilang (OH) yang memaklumkan abang iparnya tiada di rumah pada Jumaat.

Menurut kenyataan dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis, sebelum laporan dibuat, pengadu telah pergi ke rumah abang iparnya iaitu Rosdan Mat (OH).

”Orang hilang berkenaan difahamkan berumur 52 tahun di alamat rumah tidak bernombor Kampung Redan, Mela, Kuala Lipis, Pahang telah mendapati abang iparnya tiada di rumah.

”Kali terakhir pengadu berjumpa dengan abang iparnya ialah pada 26 Jun 2024,” katanya.

Selain itu, pengadu bersama saudara-mara dan orang kampung telah mencari abang iparnya tetapi gagal dan tidak menjumpai sebarang petunjuk di mana keberadaan abang iparnya itu.

Difahamkan, OH merupakan seorang Orang Kurang Upaya (OKU) dan mengalami masalah kesihatan mental sejak berumur 14 tahun.

Dalam pada itu, pihak polis bersama penduduk kampung telah menjalankan operasi mencari dan menyelamat di sekitar lokasi kejadian namun, gagal ditemui.

Walaubagaimanapun, operasi mencari akan diteruskan.

Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkenaan orang hilang tersebut, boleh hubungi bilik gerakan IPD Lipis di talian 09-3121999 atau lapor di mana-mana balai berdekatan.

Baca juga:

Related Articles