KPKM peruntuk lebih RM33 juta bagi optimumkan penggunaan tanah di Sabah

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkerjsama bersama Kerajaan Negeri Sabah bagi mengoptimumkan penggunaan tanah ke arah keterjaminan makanan negara sekaligus melaksanakan projek pembangunan yang meliputi pemerkasaan sektor ternakan, tanaman, dan aktiviti pengeluaran serta pemasaran produk hiliran di Negeri Sabah.

Kerjasama itu dijalinkan ketika kunjungan Datuk Seri Mohamad Sabu kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajij Haji Noor di kediaman rasminya pada malam 12 Julai 2024 yang turut meluluskan peruntukan sebanyak RM150 juta melalui Belanjawan 2024 oleh Kerajaan Persekutuan.

“RM150 juta itu bagi pelaksanaan projek pembangunan bersama Kerajaan Negeri yang merupakan inisiatif belanjawan khas bagi tahun 2024 yang bertujuan untuk membangunkan dan mengoptimumkan penggunaan tanah bagi meningkatkan hasil produk agromakanan negara.

“Daripada jumlah tersebut, KPKM telah memperuntukkan sebanyak RM33,593,226.00 kepada Kerajaan Negeri Sabah yang merupakan peruntukan tertinggi berbanding negeri-negeri yang lain. Peruntukan di bawah program ini telah disalurkan secara berperingkat kepada Kerajaan Negeri Sabah pada 4 April 2024 dan 14 Mei 2024 bagi memastikan program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Penyaluran peruntukan tersebut meliputi 7 buah projek yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Sabah melibatkan pemerkasaan ternakan bersepadu ruminan, pembangunan 23 buah Pusat Pengumpulan Hasil Tani, pemulihan sawah-sawah padi terbiar seluas 534.55 hektar, pembinaan kilang kopi dan pembangunan tanaman kontan (Keladi Cina) yang melibatkan pelbagai daerah di Negeri Sabah.

“Kesemua projek tersebut akan dilaksanakan dan diselia oleh Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) melalui Jabatan Pertanian Negeri Sabah (DOA Sabah) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sabah (DVS Sabah),” jelasnya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Pada Jumaat, Mohamad yang diiringi oleh Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha dan pegawai-pegawai kanan KPKM telah merangka satu lawatan kerja ke Sabah selama empat hari bermula Jumaat. Lawatan terbabit turut melibatkan Konvoi Jelajah Road to MAHA@Sabah 2024 di Kota Kinabalu, Kota Belud, Kundasang, Telupid dan Sandakan.

Baca juga: