Maritim Sarawak giat kesan pemancing hilang di Perairan Sebuyau

Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim) Negeri Sarawak melancarkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) seorang pemancing yang dilaporkan hilang sejak Jumaat kira-kira pukul 2.39 petang.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh memaklumkan mangsa yang dikenali sebagai Ong Kim Huat @ Isa Yusuf, 65, telah dilaporkan hilang oleh anaknya dan kali terakhir dilihat memakai baju berwarna oren serta berseluar hitam.

Gambar mangsa yang dilaporkan hilang.

“Mangsa telah menaiki bot fiber berwarna biru dan oren dari jeti Baraj Kuching namun gagal pulang pada hari yang sama seperti selalu.

“Lokasi mangsa dikesan di Muara Sebuyau Simunjan Sarawak, kira-kira pukul 5.02 petang melalui aplikasi WhatsApp yang diterima oleh anak mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Oleh itu, aset Maritim Malaysia, KM Bijak telah digerakkan bersama aset Pasukan Polis Marin (PPM), PSC 11 ke lokasi terakhir mangsa dilaporkan.

Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) telah ditubuhkan di Jeti Terminal Penumpang Sebuyau LSS pada 12.30 tengah hari pada Ahad dan sektor pencarian meliputi kawasan seluas 61 batu nautika persegi meliputi Perairan Sebuyau, Pulau Burong dan Pulau Lakei.

Operasi tersebut melibatkan seramai lapan orang pegawai dan 46 anggota dari Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS).

Namun, setakat ini masih tiada sebarang penemuan dibuat sehingga pukul 5 petang hari Ahad dan operasi Carilamat akan disambung semula pada pukul 8 pagi hari Isnin.

Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta untuk menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau talian kecemasan NG999.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat