Bayi sebulan ditinggalkan di masjid, JKM cari waris

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mencari waris kepada bayi perempuan berumur sebulan yang ditinggalkan di Masjid Kampung Lubuk Kulit, Kuala Lipis pada Khamis.

Pegawai Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Lipis, Hizani Ibrahim berkata, tiada sebarang dokumen ditemui pada bayi itu dan dia kini ditempatkan di bawah jagaan JKM.

Katanya, pemeriksaan kesihatan bayi seberat tiga kilogram itu menunjukkannya sihat dan tiada sebarang kecederaan.

“Bayi berkenaan ditemui jemaah masjid yang datang awal untuk solat Subuh, sebelum mereka menghubungi pihak kami.

“Sehubungan itu, kita mohon waris atau individu yang mempunyai maklumat berkaitan supaya menghubungi Pelindung Kanak-Kanak atau Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Lipis di talian 09-3121280 (Siti Noraniza Omar),” katanya.

Anda Mungkin Berminat