Kerajaan negeri Sabah akan terus beri sokongan penuh dan kerjasama padu kepada Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dan semua pasukan keselamatan dalam mengekang ancaman pencerobohan anasir asing dan militan.
Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing (JKPWAS-Induk) yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor pada Khamis.
Menurut Saifuddin, mesyuarat itu menjurus kepada usaha-usaha menangani isu Pendatang Tanpa Izin (PTI) dan membincangkan mekanisma pengurusan warga asing di Sabah.
“Perihal pengurusan warga asing di Sabah bukan sahaja memerlukan sinergi antara agensi di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Negeri sahaja, bahkan menuntut suatu kesungguhan politik termasuklah melibatkan pemimpin politik, ketua-ketua masyarakat dan kaum bagi mencari jalan keluar daripada kemelut yang telah berlarutan sejak sekian lama,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, beliau turut membincangkan hal terkait pengurusan masyarakat Pala’u dan telah mencapai beberapa persetujuan.
Katanya, perincian itu akan beliau kongsikan melalui kenyataan media yang dikeluarkan nanti.
“Saya menyambut baik kesediaan Kerajaan Sabah untuk bersama-sama ganding bahu dengan Kerajaan Persekutuan bagi mencari titik temu dalam menyelesaikan isu-isu yang tertunggak sekian lama ini,” katanya.
Baca juga: