Lelaki maut X50 langgar pembahagi jalan

BAYAN BARU: Seorang lelaki meninggal dunia selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 dipandunya terbabas dan melanggar pembahagi jalan awal pagi Isnin.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru, PBK II Mohamad Hirman Mat Rodzi berkata, kejadian tersebut berlaku di KM 18.2, Jambatan Kedua dari Batu Kawan menghala ke Batu Maung, Pulau Pinang.

“Seramai lapan orang pasukan bomba daripada BBP Bayan Baru bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 6.09 pagi dengan membawa jentera FRT dan kenderaan Unit EMRS.

“Mangsa didapati tersepit di bahagian tempat duduk pemandu,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, mangsa yang tersepit berjaya dibawa keluar daripada kenderaan oleh pasukan Bomba dan menyerahkannya kepada petugas kesihatan KKM untuk pemeriksaan.

“Mangsa bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Oleh: Farah Faizal