BERSATU Jeli keluar parti, rasa diperguna PAS

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Lebih 1,000 ahli BERSATU mengumumkan keluar daripada parti berkuatkuasa hari ini susulan hilang keyakinan terhadap pimpinan tertinggi parti.

Bekas Timbalan Ketua Cawangan BERSATU Kedai Kuala Balah, Rodzi Muhammad berkata, keputusan ini juga melibatkan percaturan politik terutama isu pemilihan calon di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

“BERSATU dilihat begitu lemah dan ini jelas dalam pemilihan calon PRK DUN Nenggiri di mana Bersatu jelas dipermainkan dan digula-gulakan oleh PAS. Kami amat malu dan tercabar dengan kesilapan percaturan ini.

“Kami tidak lagi melihat kepimpinan tertinggi parti sama ada di peringkat nasional mahupun di peringkat negeri sebagai pemimpin yang berkaliber, ternyata sekarang mereka lemah dan tidak mempunyai idea,” katanya dalam sidang media pada Rabu.

Malah, Rodzi menyatakan BERSATU bukan lagi parti dominan dalam Perikatan Nasional (PN) bagi memperjuangkan nasib orang Melayu.

Dalam pada itu, katanya, mereka tidak dipaksa mana-mana pihak dan keputusan tersebut adalah secara sukarela.

“Bersama saya hari ini termasuk tiga ahli jawatankuasa (AJK) Bersatu Jeli, lapan ketua cawangan BERSATU dan Penolong Setiausaha Srikandu BERSATU Jeli mengumumkan perletakan jawatan kami berkuatkuasa serta merta.

“Keputusan ini kami ambil secara sukarela dan tiada paksaan serta tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Sehubungan dengan itu, lapan cawangan dan 18 cawangan srikandi dengan ini mengumumkan pembubaran di cawangan Bersatu terbabit,” katanya.

Lapan cawangan BERSATU di Jeli iaitu Lawang, Asahan, Batu Gajah, Kedai Kuala Balah, Legeh, Nibong, Jedak Tua dan Kubur Datu dianggap terkubur selepas kesemua mereka keluar daripada parti.

Rodzi berkata, setakat ini mereka tidak menyertai mana-mana parti namun menyokong Kerajaan Perpaduan.

“Kami melihat Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih berkarisma dan berdaya maju” katanya.

Anda Mungkin Berminat