Oleh: Shafira Aziz
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali Ke-72 memainkan peranan penting dalam menyelaraskan isu-isu agama Islam di Malaysia dengan penekanan pembangunan insan melalui nilai ihsan, adab dan wacana ilmu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini turut serta pada Mesyuarat MKI bersama pemimpin tertinggi negara yang dipengerusikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Hotel Mandarin Oriental dekat sini.
Anwar yang juga Timbalan Pengerusi MKI menzahirkan penghargaan kepada Sultan Perak atas peranannya dalam mempengerusikan mesyuarat tersebut.
“Mesyuarat ini adalah ruang dan wadah terbaik di antara institusi raja bersama anggota pentadbiran kerajaan dalam meneliti serta membincangkan isu-isu dan penyelarasan hal ehwal agama Islam di Malaysia.
“Ia turut memberikan perhatian yang serius terhadap pembangunan insan dengan nilai ihsan, adab dan wacana ilmu sebagai teras utama dalam memungkinkan tertegaknya karamah insaniah yang menjadi matlamat besar membangun aturan Madani,” katanya dalam kenyataan.
Mesyuarat MKI ini turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar serta ahli-ahli MKI yang dilantik berdasarkan kepakaran masing-masing.
Anwar turut berharap usaha untuk membangun dan mengangkat martabat Islam di negara ini akan terus dipelihara dan diperkukuhkan demi kesejahteraan umat dan negara menerusi Mesyuarat MKI kali ini.
Sejurus selepas itu, Anwar meluangkan masa menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Hidayah, Kampung Sungai Penchala, Selangor.
Anwar turut makan tengah hari bersama-sama pemimpin dan masyarakat setempat di Gertak Merah Bawah Jambatan di mana ia merupakan lokasi popular untuk menjamu selera.