Lebih 100,000 pengunjung meriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-67

Oleh: Hanim Nadia

PUTRAJAYA:(KEMASKINI) Lebih 100,000 pengunjung bersatu dalam menyemai semangat patriotisme bagi menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Dataran Putrajaya pada Sabtu.

Bertemakan Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka, sambutan tahun ini menyaksikan pembabitan seramai 13,009 peserta persembahan dan perarakan, 112 haiwan dalam perkhidmatan, 439 aset darat dan udara daripada pelbagai agensi di lokasi acara sambutan.

Sambutan secara rasmi bermula dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah dengan menaiki kenderaan rasmi sekitar jam 8 pagi.

Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Fadillah Yusof.

Sambutan kali ini memberi penghargaan kepada petugas anggota keselamatan membaca ikrar rukun negara yang diketuai oleh Koperal Mohd Khairul Azhar Abbi Paisa bersama 66 pelajar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Mohd Khairul adalah wira yang berjaya menewaskan pencerobohan Balai Polis Ulu Tiram, Johor yang turut mengorbankan seorang anggota polis pada Mei lalu.

Acara yang paling dinantikan adalah perarakan aset keselamatan dan pertahanan negara, antaranya oleh pasukan bomba, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Kali ini, pertunjukan udara oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), antaranya dibarisi lima pesawat pejuang Sukhoi SU 30 MKM, pesawat F-18D Hornet dan Hawk MK 208.

Acara penuh gilang gemilang itu turut menampilkan kelainan dalam pertunjukan, terutama persembahan tarian ‘Stompers Cuci Rasuah’ yang dipersembahkan oleh Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN).

Elemen persembahan itu dilihat sebagai simbolik kepada usaha kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memperjuangkan membanteras rasuah serta memperkasakan tatakelola.

Anda Mungkin Berminat