Sanusi Sebenarnya Banyak Main Politik, Kerajaan Jaga Rakyat – Fahmi

Oleh: Hanim Nadia

PUTRAJAYA: Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat termasuk di negeri yang ditadbir pembangkang.

Malah, tuduhan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kononnya menteri dan timbalan menteri Kerajaan Perpaduan masih bermain politik terutama di negeri pembangkang adalah tidak benar.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, Perdana Menteri sendiri tidak bermain politik dengan negeri pembangkang sebaliknya sentiasa meluangkan masa untuk melawat serta mempercepatkan pelaksanaan projek tertentu.

“Beliau bukan hanya banyak meluangkan masa untuk melawat, malah mengenal pasti masalah yang harus diatasi segera serta mempercepat proses pelaksanaan projek.

“Seperti sewaktu ke Rantau Panjang dan Pasir Mas, Kelantan baru-baru ini untuk melihat masalah bersebelahan dengan Sungai Golok dan sejumlah perkara dipercepat,” katanya di sidang akhbar mingguan pasca Mesyuarat Kabinet di Putrajaya pada Selasa.

Terdahulu, Muhammad Sanusi dilaporkan mendakwa menteri dan timbalan menteri Kerajaan Perpaduan masih mengamalkan sentimen politik tebal dengan negeri pembangkang.

Katanya, walaupun pembangkang sudah membuka ruang seluasnya untuk bekerjasama, kerajaan tetap ingin bermain politik.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi mendakwa, Muhammad Sanusi adalah individu sebenarnya yang bermain politik.

“Saya lihat yang bermain politik banyak ini Menteri Besar Kedah, main politik sampai nak tangkap orang.

“Kita sebagai anggota pentadbiran perlu mengutamakan kemaslahatan umum dan juga memastikan bahawa rakyat di bawah jagaan kita mendapat manfaat semaksimum mungkin.

“Perdana Menteri sendiri sudah menyatakan bahawa tidak perlu ada sentimen politik dalam menguruskan pembangunan termasuk di negeri yang ditadbir pembangkang,” katanya.