Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada Khamis mengumumkan bekas Delegasi LaLiga di Malaysia iaitu Giorgio Pompili Rossi telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL yang baharu.
Pelantikan itu dibuat selepas Datuk Stuart Ramalingam yang merupakan CEO buat MFL sebelum ini telah tamat kontrak pada 31 Ogos lalu.
Pompili Rossi merupakan individu pertama dari luar negara yang dilantik selaku CEO buat MFL.
Menerusi kenyataan MFL, keputusan pelantikan tersebut telah dibuat menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam satu mesyuarat pada 4 September 2024.
Menurut Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, keputusan melantik Pompili Rossi dibuat berdasarkan pengalaman yang ada pada beliau dalam industri bola sepak sejak 2013 sehingga kini.
“Beliau memulakan kerjayanya pada tahun 2013 dengan menyertai agensi komersial Kelab Serie A dan meneruskan tugas di Sepanyol bersama Valencia CF sebelum beliau menyertai LaLiga pada tahun 2017.
“Pompili Rossi mula bertapak di Malaysia sebagai Delegasi LaLiga pada tahun 2017 sehingga 2021, di mana beliau memainkan peranan penting dalam membangunkan jenama liga Sepanyol dan mempromosikan kelab-kelab Sepanyol di kalangan peminat bola sepak di negara ini.

“Selepas itu, Pompili Rossi melebarkan sayapnya sebagai Delegasi LaLiga Thailand yang berpangkalan di Bangkok sejak 2021 serta turut menjalankan operasi di Laos, Kemboja dan Myanmar sehingga kini sebelum dilantik selaku CEO MFL,” katanya.
Pada masa sama, Ab Ghani juga turut mengalu-alukan kehadiran Pompili Rossi sambil berharap kepakaran serta pengalaman beliau digunakan dengan baik buat perjalanan MFL menguruskan Liga Malaysia.
“Beliau akan memulakan tugas apabila selesai urusan proses mendapatkan visa dalam masa terdekat ini.
“Pengalaman dan pengetahuan Pompili Rossi tentang bola sepak Malaysia dan rantau ini diharapkan dapat membantu dalam menguruskan operasi MFL khususnya daripada aspek pertandingan dan komersial Liga Malaysia,” katanya lagi.
Ab Ghani turut memberikan penghargaan kepada Stuart atas sumbangannya selama tiga tahun berkhidmat menerajui sekretariat MFL.
Ulasnya, komitmen tinggi yang telah ditunjukkan oleh bekas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu membolehkan MFL berjaya melakukan banyak perubahan khususnya dalam penstrukturan semula Liga Malaysia, penggunaan VAR serta peningkatan nilai komersial Liga Malaysia.