Oleh: Kamilia Ali
KUALA KANGSAR: Seorang operator kenderaan telah dituduh atas kesalahan menyeludup keluar tiga warga asing di sempadan pintu masuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak pada 28 Ogos lalu.
Pengarah Imigresen Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, tertuduh merupakan seorang lelaki iaitu Min Aung, warga Myanmar berusia 34 tahun.
“Tertuduh ditangkap kerana mengangkut tiga Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara sama dengan menaiki sebuah kereta SUV dan membawa keluar ketiga-tiga mereka tanpa melapor kepada Pegawai Imigresen.
“Subjek dituduh dibawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2017 di mana apabila disabitkan boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak lebih RM250,000 atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, mahkamah menetapkan tarikh sebutan lain untuk kehadiran jurubahasa Myanmar sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi bagi tujuan perbicaraan.
Difahamkan, kes tersebut dikendalikan oleh Pendakwa Raya JIM Perak.
Justeru itu, JIM Perak mengingatkan masyarakat agar tidak bersubahat atau bersekongkol dengan mana-mana sindiket pemerdagangan orang dan penyeludupan migran kerana ia merupakan jenayah rentas sempadan yang boleh mengancam keselamatan negara.
Baca juga: