Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyahut cabaran surat tuntutan (LOD) yang dikeluarkan ke atasnya oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Ketua Pemuda UMNO itu berkata beliau akan berjumpa dengan Teresa di mahkamah dengan menyatakan ‘no fear, no surrender’ (tidak takut, tidak mengaku kalah).

“Okey Nyonya. Kita jumpa di mahkamah. No fear, no surrender,” katanya singkat pada petang Rabu.

Pagi tadi, Teresa mengeluarkan LOD kepada Akmal untuk menuntut ganti rugi sebanyak RM25 juta menerusi firma Sankara Nair and Partners dengan dakwaan Akmal memutar belit kenyataannya mengenai isu pensijilan halal.

Notis tersebut dikeluarkan susulan hantaran video di aplikasi TikTok Akmal yang menyentuh mengenai Teresa secara langsung atau tidak langsung pada 7 September lalu.

Firma tersebut turut berkata anak guamnya sudah menjelaskan pendiriannya mengenai dasar mewajibkan Pensijilan Halal bagi restoran yang tidak menghidangkan daging babi dan atau alkohol pada 8 September 2024.