Oleh: Hanim Nadia
PENJAGA gol utama Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi sah tinggalkan kelab bola sepak itu.
Perkara itu dimaklumkan di laman Facebook KDA FC pada Ahad.
Menurut KDA FC, perkara tersebut diputuskan selepas perbincangan mendalam antara Kalamullah Al-Hafiz, barisan kejurulatihan dan pengurusan kelab sebelum kesemua pihak memutuskan untuk menamatkan kontrak secara persetujuan bersama.
KDA FC mengakui bahawa kehilangan Kalamullah yang merupakan antara penjaga gol terbaik Harimau Malaya adalah satu keputusan sukar.
“Kalamullah bangkit dan mempamerkan prestasi yang cukup baik di kala pasukan masih terumbang-ambing mencari rentak awal musim ini, seterusnya membantu KDA FC layak ke peringkat Separuh Akhir Piala FA 2024/25 baru-baru ini.
“Dimana sahaja anda berada, ingatlah Kalamullah, selamanya Sang Kenari. Pihak pengurusan mengucapkan terima kasih di atas khidmat bakti beliau selama mewakili Sang Kenari dan mendoakan kerjaya beliau terus maju bersama pasukan baharu!
“Kalamullah, Biar Jasa Jadi Kenangan,” katanya di Facebook.
Kalamullah kini dilaporkan selangkah untuk menyertai Selangor FC dalam jendela perpindahan kedua liga.
Khabar angin perpindahan itu sebelum ini dikongsikan oleh pemerhati sukan tanah air, Zulhelmi Zainal Azam di laman X.
Selain Kalamullah, beberapa pemain bintang juga dikhabarkan bakal meninggalkan Sang Kenari yang kini dilanda kemelut masalah gaji.
Beberapa pemain utama juga tidak menjalani sesi latihan baru-baru ini dan menyebabkan pengendali pasukan, Nafuzi Zain terpaksa bergantung kepada pasukan bawah 23 tahun.
Langkah itu memberi kesan pahit apabila pasukan KDA FC tewas 5-0 kepada KL City FC dalam aksi Liga Super di Stadium Bolasepak KL, Cheras, malam tadi.