PPS Sabah tutup, mangsa banjir Kedah meningkat kepada 7,484 orang

KOTA SETAR: Banjir semakin surut di negeri Sabah menyebabkan mangsa banjir sudah pulang ke rumah masing-masing dan pusat pemindahan sementara (PPS) telah ditutup

Bagaimanapun, berbeza di Kedah dengan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 7,484 orang setakat 8.30 pagi tadi.

Hal itu susulan hujan lebat tengah malam tadi yang menyaksikan peningkatan daripada 6,760 orang, menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Daerah Kota Setar kekal dengan jumlah mangsa banjir tertinggi di PPS dengan 3,318 orang diikuti Kubang Pasu (1,787), Pendang (1,127), Pokok Sena (938), Kuala Muda (184) dan Bandar Baharu (138).

Jumlah keseluruhan mangsa banjir di seluruh negara ialah 8,072 orang merangkumi Pulau Pinang (259), Selangor (109), Sarawak (105), Perlis (90), Perak (16) dan Kuala Lumpur seramai sembilan orang.

Manakala menerusi laman sesawang Public Info Banjir pula, aras air di empat negeri dikategorikan dalam bahaya iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Sarawak.

Selain itu, aras air di tiga negeri di tahap amaran iaitu Perak, Kelantan dan Sabah.