Peratusan keluar mengundi PRK Mahkota rendah – Penganalisis

PETALING JAYA: Peratusan keluar mengundi bagi pilihan raya kecil (PRK) Mahkota adalah rendah bagi semua etnik pengundi, termasuk pengundi Melayu.

Penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Mohd Yusri Ibrahim berkata senario itu boleh dilihat daripada 10 pusat daerah mengundi (PDM) yang dikategori sebagai PDM majoriti Melayu, hanya tiga PDM yang kadar keluar melebihi 60 peratus, selebihnya hanya sekitar 50 peratus.

“Bahkan ada satu PDM yang sekadar mencatatkan 44 peratus keluar mengundi,” katanya mengulas mengenai keputusan PRK Mahkota malam tadi.

Bagaimanapun, beliau menyatakan jangkaan tentang sikap pengundi etnik Cina yang dingin tersasar kerana kadar keluar mengundi mereka sebenarnya dikategorikan memuaskan berbanding kebimbangan awal.

“Sebagai contoh, daripada lapan PDM yang dikategorikan sebagai PDM majoriti Cina, empat PDM menunjukkan kadar keluar mengundi menghampiri 50 peratus, bahkan ada satu PDM mencatatkan keluar mengundi sebanyak 54 peratus. Hanya satu PDM agak rendah iaitu 41 peratus.

“Strategi saat-saat akhir khususnya oleh Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) untuk memujuk pengundi Cina keluar boleh ditafsirkan sebagai berjaya, sumbangan oleh segmen ini banyak membantu kemenangan dengan majoriti sangat besar BN tersebut,” katanya.

Dr Yusri berkata kerjasama itu membuah hasil berlipat ganda berbanding pilihanraya umum ke-15 (PRU15) sebelum ini.

“Sebagai contoh dalam PRU15 pada November 2022 sewaktu pengundian Parlimen Kluang, BN hanya mengumpul 14,834 atau 30 peratus undi daripada 77 peratus pengundi Mahkota yang keluar.

“Manakala sebelum itu dalam PRN pada Mac 2022, BN hanya mengumpul 16,611 atau 45 peratus daripada keseluruhan 57 peratus yang keluar mengundi.

“Pertama kali bekerjasama dalam PRK Mahkota ini, BN-PH berjaya mengganda jumlah undi kepada 27,995 atau 78.4 peratus undi daripada keseluruhan 54 peratus yang keluar mengundi.

“Peningkatan besar bilangan dan peratusan undi yang dikumpul oleh BN ini adalah hasil kerjasama PH-BN dalam PRK ini,” katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau turut menasihatkan parti lawan, Perikatan Nasional (PN) agar berbuat sesuatu kerana PN mengalami defisit undi ketara apabila hanya sekadar mengumpul 7,347 atau 20.6 peratus undi dalam PRK ini.

“Berbanding dalam PRU15 November 2022, PN mengumpul 14,794 atau 30 peratus undi, manakala dalam PRN Mac 2022 PN mengumpul 7,614 atau 20 peratus undi.

“Pengurangan ketara undi PN ini khususnya berbanding PRU15 tersebut hanya ada dua kemungkinan iaitu sama ada pengundi PN sedia ada tidak keluar mengundi, atau mereka keluar tetapi bertukar mengundi BN.

“Ada sesuatu tidak kena yang boleh diberi perhatian oleh kepimpinan tertinggi PN berkaitan hubungan PAS-BERSATU dalam gabungan tersebut. Ini kerana sepanjang kempen, PAS kelihatan tidak cukup ghairah untuk membantu dan memenangkan calon PN yang diwakili BERSATU.

“Ada sesuatu tidak kena yang boleh diberi perhatian oleh kepimpinan tertinggi BERSATU berkaitan hubungan dalaman antara klip-klip kepimpinan parti tersebut. Ini kerana sepanjang kempen, dilihat team Azmin Ali sahaja yang allout bekerja dan berkempen untuk menang. Team figura penting lain dilihat kurang memberi komitmen, kecuali team Presiden,” katanya.

Terdahulu, calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah, 40 menang dengan majoriti 20,648 undi dengan memperolehi 27,995 undi PRK Mahkota,

Sementara itu, calon BERSATU Mohamad Haizan Jaafar, 61, yang mewakili PN hanya mendapat 7,347 undi.