SHAH ALAM: Polis Kontinjen Selangor mengesahkan tiga anggota polis yang ditahan berhibur di sebuah pusat hiburan di Taman Dutamas, Cheras di sini, awal pagi semalam, didapati positif dadah.
Ketiga-tiga mereka yang berusia antara 37 hingga 57 tahun dan bertugas di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang itu ditukarkan serta-merta ke Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor sementara menunggu hasil siasatan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tiga anggota polis terbabit adalah antara 14 individu yang ditahan dalam serbuan polis di pusat hiburan itu.
“Hasil pemeriksaan dan ujian saringan air kencing mendapati 14 orang ditahan itu positif dadah termasuk tiga anggota polis.
“Mereka ditahan reman dua hari hingga hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan polis menahan tiga anggotanya yang berhibur di sebuah pusat hiburan.
Menurut sumber, serbuan dijalankan sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Selangor selepas menerima maklumat.
Hussein berkata, satu siasatan tatatertib juga akan menyusul untuk tindakan dalaman Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Pegawai dan anggota dilarang berada di pusat hiburan kecuali atas urusan tugas.
“Tindakan tegas termasuk pertuduhan jenayah akan diambil ke atas mana-mana pegawai dan anggota yang melanggar arahan termasuk terbabit penyalahgunaan dadah,” katanya.