MINDEF Perkasa Pendidikan E-Sukan Anak-Anak Warga Kerja Pertahanan

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengambil inisiatif memperkasa pendidikan e-sukan (Esports) dalam kalangan anak-anak Warga Kerja Pertahanan (WKP) selari dengan sukan itu yang semakin berkembang pesat ketika ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, inisiatif itu diterjemahkan menerusi Program Sukan Elektronik (Esports) yang diilhamkan oleh beliau sendiri untuk memupuk bakat dan minat anak-anak WKP dalam e-sukan.

Katanya, program itu melibatkan sekolah-sekolah di dalam Kem (SDK) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pangkalan TLDM Lumut, Perak.

“Program ini berlangsung selama dua hari, pada 7 dan 8 Oktober 2024 melibatkan Majlis Sukan Angkatan Tentera (MSAT) yang disiarkan secara langsung melalui laman sosial -Esports Malaysian Armed Froces melibatkan pelajar-pelajar di SDK ATM bagi tontonan umum.

“Keseluruhan peserta melibatkan seramai 128 orang pelajar dari tingkatan 1 hingga 4 yang dipecahkan kepada 32 kumpulan menyertai pertandingan ini melibatkan permainan jenis Player Unknown’s Battlegrounds (PUBG Mobile),” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut mengenai program itu, katanya, ia juga bertujuan memberikan pendedahan kepada ekosistem baharu melalui pameran industri dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan – Esports Integrated (ESI) dan GamesBond International Sdn Bhd serta berkeupayaan menampilkan atlet e-Sukan di peringkat kebangsaan.

Tambahnya, selaras dengan Teras Ketiga dan Keempat Pelan Strategik MINDEF 2021-2025
(Pelestarian Kesejahteraan WKP dan Pengukuhan Kerjasama Awam-Tentera), MINDEF komited dalam menyediakan kemudahan pendidikan sebagai usaha kerajaan dalam menjamin kesejahteraan anak-anak WKP.

“Program ini juga menyediakan insentif hadiah wang terkumpul RM8,500 bagi anak-anak WKP yang terlibat.

“Program ini bukan sahaja memupuk persaingan yang sihat, ia juga membantu membangunkan kemahiran akademik dan kebolehan pelajar secara serba boleh serta holistik, dengan tujuan membina laluan kerjaya yang lebih jelas dan terancang,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata Adly, penganjuran kejohanan Esports ini turut mendapat tajaan daripada Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Tenaga Nasional Berhad, Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd, Perbadanan Perwira Niaga Malaysia, Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan PUBG Malaysia.