KKM jamin kadar kompaun tidak beban golongan B40

Oleh: Syahirah Harish

KUALA LUMPUR: Golongan B40 berjumlah sekitar 13.64 juta rakyat di negara ini diutamakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) apabila kadar kompaun sebagai ‘deterrent’ (langkah pencegahan) dijamin tidak membebankan rakyat.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni memaklumkan KKM sentiasa berusaha untuk meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan amalan kesihatan yang baik dalam masyarakat.

Oleh itu, kenaikan kadar kompaun bukan bertujuan untuk menghukum sebaliknya adalah sebagai didikan untuk memastikan kesalahan yang sama tidak berulang kembali.

“Bayaran RM5,000 bakal dikenakan kepada pesalah selepas mengambil kira keseriusan kesalahan dilakukan agar ia seimbang dan adil.

“Saya ingin menegaskan bahawa tujuan utama peningkatan kadar kompaun ini adalah untuk memastikan kepatuhan yang lebih baik terhadap peraturan yang telah ditetapkan terutama langkah-langkah pencegahan penyakit berjangkit dan memperkukuh kawalan kesihatan awam, demi keselamatan dan kesihatan awam, bukan untuk menghukum,” katanya.

Kata Lukanisman, Malaysia masih mengambil pendekatan yang munasabah dan seimbang dalam menetapkan nilai penalti.

Sebagai contoh, di Singapura, denda di bawah Akta Penyakit Berjangkit boleh mencecah sehingga SGD 10,000 atau lebih kurang RM34,000 bagi kesalahan pertama dan SGD 20,000 (RM68,000) bagi kesalahan berulang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sibuti itu berkata demikian ketika perbahasan Rang Undang-Undang Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata pendekatan ini juga menunjukkan bahawa penetapan penalti mengambil kira kesejahteraan rakyat dan keadaan sosioekonomi negara, menjadikan ia lebih berpatutan berbanding beberapa negara lain.

Ini membuktikan bahawa Malaysia masih mampu mengekalkan keseimbangan antara pencegahan dan keadilan tanpa membebankan rakyat terutamanya dalam konteks ekonomi tempatan.

Baca juga: