Belanjawan 2025: Peruntukan komuniti OKU ditingkatkan kepada RM1.3 bilion

Oleh: Kamilia Ali

PARLIMEN | Peruntukan bantuan bagi komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) di bawah Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) ditingkatkan kepada RM1.3 bilion berbanding RM1.2 bilion pada tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, syarat kelayakan gaji bagi penerima Bantuan Elaun Pekerja OKU akan ditingkatkan dari RM1,500 kepada RM1,700.

“Kerajaan akan meringankan tanggungan pembayar cukai OKU dengan cadangan pelepasan cukai tambahan bagi OKU dinaikkan kepada RM7,000.

“Seterusnya, pelepasan cukai tambahan bagi pasangan OKU dinaikkan kepada RM6,000 dan pelepasan cukai bagi pembayar cukai mempunyai anak OKU yang belum berkahwin dinaikkan kepada RM8,000,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam Pembentangan Belanjawan 2025 di Parlimen pada Jumaat.

hiasan

Selain itu, beliau turut berkata, peruntukan tersebut merangkumi kemudahan mesra OKU di seluruh IPTA akan ditambah baik di samping terus melaksanakan Program Pemulihan Dalam Komuniti untuk OKU dengan peruntukan RM30 juta.

“Kemudahan pembiayaan melalui Skim Sinar BSN disediakan dengan dana 50 juta ringgit untuk OKU ceburi bidang perniagaan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar menekankan bahawa Pusat Panggilan Kerajaan Malaysia (MyGCC) akan menyediakan perkhidmatan khusus untuk memenuhi keperluanpemanggil OKU, seperti menyediakan kemudahan panggilan video dengan bahasa isyarat.

Belanjawan 2025 memberi fokus kepada tiga aspek iaitu “Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat”.

Ini adalah belanjawan ketiga oleh Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Anwar dan yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.

Anda Mungkin Berminat