Pindaan RUU Perlembagaan 2024 hapus dikriminasi gender – Pakar


Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 di Parlimen baru-baru ini bukan sahaja memperlihatkan komitmen kerajaan untuk memperkasa hak kewarganegaraan, malah disambut baik oleh pelbagai pihak.

Pensyarah School of Law and Governance Universiti Taylor’s, Profesor Madya Dr Saidatul Nadia Abd Aziz, menyifatkan pindaan itu sebagai satu langkah yang relevan dan memenuhi keperluan semasa.

“Pada pandangan saya, pindaan ini sah dan saya pasti kerajaan telah membuat pelbagai kajian sebelum melaksanakannya.

“Ia juga bersesuaian dengan keadaan semasa yang memberi kewarganegaraan secara automatik kepada anak-anak yang lahir di luar negara tapi ibunya rakyat Malaysia,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit pada Jumaat.

Pindaan tersebut dijangka memberikan impak besar kepada keluarga yang sebelum ini terkesan dengan kekangan undang-undang kewarganegaraan yang lama.

“Dengan pindaan ini, mereka mungkin dapat memudahkan banyak urusan yang selama ini terbatas.

“Saya yakin ia akan disambut baik, walaupun mungkin ada cabaran kecil seperti isu penduduk tetap (permanent resident) yang turut mahukan kewarganegaraan,” tambahnya.

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024 ini memperuntukkan hak kewarganegaraan kepada anak-anak yang dilahirkan di luar negara melalui ibu warganegara Malaysia, menghapuskan diskriminasi gender yang sebelum ini hanya mengiktiraf hak tersebut melalui bapa.

Usaha kerajaan tersebut menunjukkan komitmen terhadap reformasi dan keadilan sosial, yang turut diiktiraf sebagai selaras dengan hak asasi manusia dan perkembangan semasa​.

“Kerajaan telah membuat kajian menyeluruh dan mendapatkan konsultasi dengan pihak-pihak berkaitan.

“Pindaan ini akhirnya direalisasikan dan saya yakin ia akan membawa manfaat kepada ramai,” ujarnya.