DOSM: Pengeluaran getah asli Malaysia menurun

Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Pengeluaran getah asli Malaysia mencatatkan penurunan ketara sebanyak 13.9 peratus pada September 2024 kepada 30,929 tan metrik, berbanding 35,908 tan metrik pada Ogos, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penurunan tersebut mencerminkan cabaran dalam sektor getah asli di Malaysia, dengan pekebun kecil terus menjadi penyumbang terbesar dengan 85.9 peratus daripada keseluruhan pengeluaran.

“Eksport getah asli juga menyusut secara ketara sebanyak 30.6 peratus kepada 39,915 tan metrik, dengan China kekal sebagai destinasi utama yang merangkumi 32.1 peratus daripada keseluruhan eksport,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau menjelaskan bahawa prestasi eksport ini menunjukkan cabaran persaingan dan permintaan global, terutama dalam produk seperti sarung tangan getah, yang mengalami penurunan kepada RM1.2 bilion.

Dalam konteks harga, produk getah seperti Lateks Pekat dan Sekerap menunjukkan peningkatan masing-masing sebanyak 7.2 peratus dan 3.4 peratus.

“Peningkatan harga ini dipacu oleh sentimen pasaran positif, terutamanya dengan kebimbangan terhadap bekalan getah asli yang mungkin terjejas akibat cuaca tidak menentu,” katanya.

Secara keseluruhan, walaupun terdapat penurunan dalam pengeluaran dan eksport, pertumbuhan tahunan bagi suku ketiga 2024 menunjukkan peningkatan sebanyak 13.2 peratus.

Mohd Uzir berkata, ia mencerminkan kekuatan permintaan global yang berterusan terhadap getah asli Malaysia, selain disokong oleh perkembangan ekonomi di negara-negara besar seperti Amerika Syarikat dan China yang memberi keyakinan kepada pasaran getah.

Anda Mungkin Berminat