Tiada lagi kompromi penyewa premis MARA langgar kontrak

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana premis MARA yang disewa tetapi tidak dibuka atau digunakan sebagai stor.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan mahkamah telah dikenakan terhadap penyewa premis perniagaan yang melanggar syarat kontrak dan culas membayar sewa.

Tegasnya, MARA hanya akan memberi peluang kepada usahawan sejati.

“Awal tahun ini, saya sudah mengarahkan MARA seluruh Malaysia untuk mengambil tindakan tegas mengikut aturan undang-undang. Ramai yang datang merayu kepada saya selepas tindakan undang-undang mula diambil.

“Saya tegaskan di sini, saya tidak akan melayani dan tiada lagi kompromi bagi mereka dalam kategori di atas. Saya memegang amanah rakyat, dan premis-premis ini dibangun menggunakan duit rakyat dengan matlamat yang ditetapkan.

“Justeru, adalah amat zalim jika premis yang boleh dimanfaatkan kepada usahawan yang benar-benar ‘genuine’ untuk berniaga tetapi akhirnya tidak dapat digunakan kerana dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau pada Isnin.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, ramai peniaga sedemikian juga culas membayar sewa yang hakikatnya berada pada kadar amat rendah berbanding kadar pasaran semasa.

Katanya, apabila beliau menerjah sendiri premis-premis MARA seperti Arked MARA, terdapat beberapa faktor menyebabkan keadaan premis lesu, laih, tidak bermaya dan sering dikritik.

“Premis yang disewa dengan kadar amat rendah, tidak dibuka kerana hanya dijadikan alamat oleh kontraktor yang ingin membida kontrak-kontrak kerajaan di daerah itu.

“Selain itu, premis yang disewa dengan kadar amat rendah digunakan sebagai stor, bukan disewa untuk perniagaan sebagaimana yang disyaratkan.

“Malah, premis yang disewa tidak diguna sebagaimana yang dipersetujui dalam kontrak penyewaan,” tambahnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat