Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Malaysia terus menjadi destinasi pilihan pelaburan antarabangsa apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan produktif bersama dua konglomerat terkemuka Korea Selatan, Samsung Group dan SK Group semasa lawatannya di Seoul.
Dalam pertemuan itu, Samsung Group yang telah beroperasi di Malaysia sejak 1983 menyatakan komitmen untuk meneroka pelaburan baharu dalam bidang seperti rantaian bekalan bateri EV, hidrogen hijau, semikonduktor dan teknologi pemerangkapan serta penyimpanan karbon (CCS).
“Saya mengalu-alukan lebih banyak pelaburan dari Samsung, terutamanya di bidang-bidang baharu,” kata Anwar dalam kenyataan pada Selasa.
Dalam ada itu, SK Group turut menyuarakan minat untuk meluaskan pelaburan di Malaysia.
Anak syarikatnya, SK Nexilis kini mempunyai kilang pengeluaran kerajang tembaga di KKIP, Sabah manakala SK Plasma merancang untuk melabur dalam membangunkan infrastruktur pengutipan plasma di Malaysia.
“Kerajaan akan memberi dukungan penuh kepada hasrat tersebut,” tambah Anwar.
Kedua-dua konglomerat ini memainkan peranan besar dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia melalui pelaburan strategik yang memacu industri hijau dan teknologi tinggi.