Keputusan Mahkamah Tinggi Beri Lampu Hijau kepada Pengurusan Parkir MBMB

Oleh: Shafira Aziz

MELAKA: Mahkamah Tinggi Melaka telah memutuskan untuk mengetepikan perintah injunksi ex parte yang diperoleh Syntax Valley Parking (M) Sdn Bhd (SVP) terhadap Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Datuk Bandar Melaka, Datuk Shadan Othman berkata keputusan itu membolehkan pengoperasian perkhidmatan parkir berkupon dikendalikan sepenuhnya oleh MBMB.

Beliau turut menyatakan bahawa keputusan pada Khamis ini memberi ruang kepada MBMB untuk meneruskan penggunaan aplikasi Melaka Smart Parking, tanpa sebarang gangguan daripada pihak lain.

“SVP perlu memberhentikan semua pengoperasian sistem yang sedang dijalankan serta-merta,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Keputusan mahkamah tersebut adalah susulan tindakan saman yang difailkan oleh SVP sebelum ini berhubung penamatan kontrak pengurusan parkir oleh MBMB.

Mahkamah juga telah menetapkan tarikh pengurusan kes bagi tuntutan saman tersebut pada 20 Januari 2025.

Dalam memastikan tiada gangguan terhadap perkhidmatan awam, MBMB komited untuk terus mengurus perkhidmatan parkir bagi kepentingan rakyat Melaka.

“Kami memastikan perkhidmatan parkir berjalan lancar demi kesejahteraan warga Bandaraya Melaka Bersejarah,” tambahnya.

Aplikasi Melaka Smart Parking, yang dibangunkan oleh MBMB, kini kembali beroperasi seperti biasa, sekaligus memperkukuh kecekapan pengurusan parkir di Melaka.

Keputusan ini bukan sahaja memperlihatkan ketegasan undang-undang, tetapi juga usaha MBMB dalam melaksanakan perkhidmatan yang lebih berkesan untuk rakyat.

Anda Mungkin Berminat