Kepimpinan Muhyiddin terus dipersoal

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Pergolakan yang dihadapi Perikatan Nasional (PN) ketika ini susulan pertikaian jawatan tertinggi mencetuskan persoalan mengenai relevansi kepimpinan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Sains Sosial Dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazlan Ali berpandangan bahawa kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin yang menyatakan PAS lebih layak memimpin PN mencerminkan ketidakpercayaan terhadap kepimpinan Muhyiddin.

Dr Mazlan menambah bahawa PAS telah memberi peluang dua tahun kepada Muhyiddin untuk membuktikan kepimpinannya semasa Langkah Sheraton dan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Namun, kegagalan membentuk kerajaan selepas PRU15 seperti yang diyakini penyokong-penyokong PN membawa kekecewaan kepada sesetengah pihak termasuk PAS,” katanya kepada Malaysia Bangkit pada Rabu.

Beliau juga menyatakan bahawa PAS mungkin berpendapat mereka memerlukan kepimpinan baru yang lebih diyakini dan tidak semestinya Muhyiddin adalah calon tunggal Perdana Menteri kepada gabungan itu.

“Jadi, ada pihak merasa kepimpinan Muhyiddin tidak lagi relevan dan kepimpinan baharu yang lebih dinamik diperlukan,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mazlan berkata, PAS juga memiliki pemimpin yang dilihat mampu menjadi calon, antaranya Menteri Besar Terengganu, Dr Samsuri Mokhtar dan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Selain daripada kenyataan Hashim Jasin, beberapa konflik menyusul apabila Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi mencadangkan Setiausaha Agung parti itu, Takiyuddin dilantik sebagai Setiausaha Agung PN menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dilihat mempunyai lebih pengalaman untuk memikul jawatan itu.

Cadangan itu menyusul selepas satu portal berita melaporkan pengesahan Muhyiddin bahawa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan memikul tugas Setiausaha Agung BERSATU dan PN bagi menggantikan Hamzah yang kini Timbalan Presiden BERSATU.

Mengulas mengenai konflik itu, Dr Mazlan berkata, situasi pembangkang yang lemah ketika ini memberi peluang kepada Kerajaan Perpaduan untuk mengukuhkan lagi kedudukan mereka.

“Kerajaan Perpaduan (PH-BN) perlu kukuhkan hubungan mereka, pastikan agar kedudukan akar umbi sehati sejiwa, tidak ada kumpulan yang sabotaj.

“Kita lihat dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK), hubungan mereka cukup baik dari segi kerjasama dan tiada perebutan kerusi.

“Inilah peluang kepada PH-BN untuk mengungguli PRU16 dengan jumlah yang lebih besar,” katanya lagi.

Anda Mungkin Berminat