Oleh: Syahirah Harish
PETALING JAYA: Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 dan RUU Tatacara Mal (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 baru-baru ini disifatkan sebagai pemangkin penting dalam merealisasikan agenda Transformasi Al-Falah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyifatkan kejayaan ini sebagai bukti kesungguhan kerajaan dalam memperjuangkan keadilan dan kesejahteraan rakyat melalui sistem pentadbiran Islam yang lebih mantap.
“Kelulusan ini bukan sahaja memperkukuh pelaksanaan undang-undang Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan, malah selari dengan visi Transformasi Al-Falah yang memberi tumpuan kepada nilai keadilan, kesejahteraan dan keharmonian masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pelbagai pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan usaha ini, termasuk PUU, JAKIM, MAIWP, JKSM, MSWP, JAWI, JAPENSWP dan pasukan teknikal lain.
Katanya, kejayaan ini juga menjadi bukti kukuh bahawa kerjasama erat dan usaha bersepadu mampu membawa perubahan positif yang besar.
Na’im berkata, Transformasi Al-Falah merupakan agenda penting yang menekankan pentadbiran berlandaskan prinsip Islam, di samping memastikan kepentingan umat Islam terus terbela.
Menurutnya lagi, dengan pelaksanaan RUU ini, ia diharapkan dapat memberi impak jangka panjang dalam memperkasakan sistem undang-undang Islam di Malaysia.
“Ini bukan sekadar pencapaian, tetapi amanah besar yang kita pikul untuk masa depan umat dan negara. Semoga ia menjadi asas kukuh untuk membawa Malaysia Madani ke tahap lebih tinggi,” tambahnya.
Dalam pada itu, semalam, Dewan Rakyat meluluskan RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 atau Akta 505 dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.