Serah kedaulatan negara adalah khianat besar – Anwar

Oleh: Fazleen Safina

PETALING JAYA: Tindakan menyerahkan kedaulatan negara susulan dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan bukanlah perkara yang boleh diambil ringan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kesalahan tersebut sebagai satu pengkhianatan besar.

Justeru beliau menyerahkan kepada proses undang-undang untuk menentukan tindakan susulan.

“RCI mendedahkan kelemahan dan dari satu sudut berlaku pengkhianatan kerana setiap inci tanah negara patut kita perjuangkan habis-habisan.

“Tetapi nampaknya ada satu kegagalan,” katanya, tanpa menyebut pihak yang melakukan pengkhianatan tersebut.

Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Manar, Presint 14, Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, RCI bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan dengan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Prosiding diusulkan itu susulan Malaysia kehilangan Batu Puteh kepada Singapura selepas Jemaah Menteri yang diketuai Dr Mahathir pada 2018 menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Anda Mungkin Berminat