PEMBROKESHIRE: Lebih 50 kanak-kanak yang melakukan lawatan ke sebuah pulau terpencil di Wales, United Kingdom (UK) mendakwa telah dirogol atau mengalami penderaan seksual oleh sami dipercayai pesalah pedofil.
Perkara yang didedahkan oleh satu laporan bocor itu turut mendakwa, kanak-kanak seawal usia tiga tahun mendapat antunan seksual (sexual grooming) dan diserang di Pulau Caldey, dekat sini.
Dalam tempoh lebih 100 tahun, pulau itu telah menjadi lokasi penempatan biara dan komuniti kecil sami serta menerima sehingga 60,000 pelawat setahun.
April lalu, satu semakan bebas telah dilancarkan selepas beberapa individu tampil melaporkan dakwaan terdapat penderaan seksual di pulau tersebut sejak lebih 60 tahun lalu.
Hasil semakan mendapati bahawa, sami dan beberapa lelaki yang memiliki rekod jenayah dan mengaku sebagai sami boleh menyertai biara tanpa sebarang pemeriksaan.
Mereka didakwa berselindung di sebalik nama agama ‘terpilih’ untuk melakukan jenayah yang berlaku semasa kanak-kanak sedang bercuti pada musim panas bersama ibu bapa mereka antara tahun 1960 dan 1992.
Ketika serangan seksual berlaku, mangsa yang terlibat segera melaporkan kepada guru, polis dan gereja katolik, namun sebahagian besarnya tidak diendahkan.
Bekas penolong polis dan pesuruhjaya jenayah selatan Wales, Jan Pickles bertindak menemu bual 17 mangsa yang terselamat.
Pickles berkata, para sami tidak berniat menghentikan penderaan meskipun sudah sedia maklum mengenai aduan yang dibuat ke atas mereka.
Menurut seorang mangsa yang enggan dikenali, Pulau Caldey adalah lokasi yang ‘sesuai’ untuk pedofil dan pesalah seks untuk bersembunyi dan melakukan penyamaran.
“Nama pulau itu sepatutnya ditukar kepada Pulau Pedofil dan tiada pelancong akan melakukan lawatan,” katanya seperti dilapor Daily Mail pada Selasa.
Sementara itu, salah seorang suspek, Paul Ashton tinggal di pulau itu dengan nama palsu antara 2004 dan 2011, ketika dia dikehendaki polis di England kerana menyamar sebagai kanak-kanak.
Seorang lagi pesalah pedofil, John Shannon yang menjadi paderi di pulau itu selama sembilan bulan pada 2008 telah dipenjarakan, susulan memiliki imej seksual melampau kanak-kanak seawal usia sembilan tahun.
Namun, laporan memfokuskan kepada Thaddeus Kotik, pendera kanak-kanak yang prolifik pada tahun 1970-an dan 1980-an.
Sami kelahiran Poland itu digambarkan oleh mangsa sebagai watak ‘Michael Jackson’, yang menggunakan kura-kura dan anak kucing peliharaan, gula-gula, biskut dan yogurt untuk melakukan jenayah terkutuk itu.
Dia bagaimanapun meninggal dunia pada 1992 sebelum sempat disoal siasat polis.
Pada 2018, seramai enam wanita dibayar pampasan untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah atas penderaan yang mereka alami.
“Mereka sepatutnya menerima permohonan maaf secara rasmi dan kes mereka harus dikaji semula,” kata Pickles.
Kempen Penyelamat Pulau Caldey menegaskan bahawa, sami di pulau tersebut bertanggungjawab atas penderaan terhadap 54 mangsa yang mendapatkan keadilan.
Pulau seluas 540 ekar itu memerlukan 20 minit perjalanan dari bandar Tenby menggunakan feri.
Baca juga: