Muhyiddin pertahan Tun M isu Batu Puteh: Pengkhianatan atau solidariti? – Puad

PETALING JAYA: Tindakan tiba-tiba Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Hamzah Zainudin mempertahankan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu Batu Puteh menimbulkan persoalan mengenai motif sebenar mereka berdua.

“Adakah ini hasil pertemuan baru-baru ini antara Tun M dan Perikatan Nasional (PN) yang membuat deklarasi melawan ‘musuh bersama orang Melayu’?” soal Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi dalam satu hantaran di Facebook.

Menurut beliau, isu kedaulatan Batu Puteh yang tergadai menjadi tanda tanya besar buat negara.

“Kalau kedaulatan Batu Puteh yang tergadai pun tidak mampu untuk dipertahankan maka macam mana mahu bersatu untuk melawan musuh Melayu? Kenapa main isu 3R (agama, bangsa dan institusi diraja),” katanya.

Dalam hantaran itu, menurut Puad, Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, keputusan untuk membatalkan rayuan Batu Puteh tidak diputuskan dalam mesyuarat Kabinet tetapi Muhyiddin tetap sanggup memikul tanggungjawab walaupun itu adalah keputusan Tun Mahathir seorang.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi

Tambahnya lagi, Muhyiddin seolah-olah lebih rela dituduh pengkhianat kerana mahu bersekongkol semula dengan Tun Mahathir, walaupun negara kehilangan Batu Puteh selama-lamanya.

Terdahulu, Hamzah Zainudin pula menegaskan bahawa kesalahan berkaitan Batu Puteh tidak boleh diletakkan pada Tun Mahathir sahaja kerana ia adalah tanggungjawab kolektif kabinet ketika itu.

Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah milik Malaysia.

Namun, pada 2018, kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan semakan keputusan ICJ tersebut.

Keputusan itu menimbulkan kontroversi dan kritikan terutama selepas laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mencadangkan siasatan jenayah terhadap Tun Mahathir.

Anda Mungkin Berminat