Anwar tegur segelintir ahli PKR terperangkap sentimen pembangkang

SHAH ALAM: Setiap anggota dan pimpinan PKR harus segera menjawab dakwaan pembangkang yang memainkan isu nasional, kata Presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menegur segelintir pimpinan dan Ahli Parlimen PKR itu yang terperangkap dalam sentimen dimainkan pembangkang hingga tergamak menyatakan belas kasihan pada pihak yang telah mencuri berbilion ringgit wang rakyat.

“Pimpinan dan Ahli Parlimen Keadilan (PKR) seharusnya bingkas menjawab dan melawan dakwaan pembangkang dengan fakta, umpamanya kegagalan mempertahankan kedaulatan negara dalam kes Batu Puteh.

“Pimpinan juga perlu segera memberi penjelasan pada rakyat terhadap sentimen dangkal kononnya Melayu dan Islam terancam ketika ini, sedangkan hakikatnya hanya mereka yang mencuri berbilion ringgit wang rakyat terancam di bawah pimpinan Kerajaan MADANI,” katanya pada Ahad.

Anwar turut menzahirkan penghargaan buat pejuang parti yang telah meninggal dunia, terutama Almarhum Syed Husin Ali yang menggagas idea dan prinsip perjuangan parti itu, terutama dalam membela nasib rakyat miskin dalam ucapan penangguhan.

“Saya tegaskan bahawa Keadilan selaku parti yang menjunjung tinggi prinsip demokrasi harus segera mengadakan pemilihan parti bagi membolehkan proses peralihan kepimpinan berjalan.

“Barisan kepimpinan parti harus melibatkan gandingan baharu dan lama. Namun pimpinan muda usah gelojoh apabila diberi mandat kerana pengalaman getir pimpinan lalu yang dihina, ditekan dan dianggap sebagai musuh negara suatu ketika lalu yang mengizinkan Keadilan kukuh bertapak pada saat ini,” katanya.

Terdahulu, PKR meminda Perlembagaannya dengan meningkatkan jumlah perwakilan yang akan mengundi bagi enam jawatan tertinggi parti serta 20 anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh berkata, pindaan itu dibuat menerusi Kongres Khas parti itu yang menyaksikan lebih dua pertiga perwakilan bersetuju dan meluluskan semua pindaan Perlembagaan parti yang sudah diusul.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat