KLANG: Lebih 250 orang terlibat dalam kejadian mogok ekoran kelewatan pembayaran gaji di kilang Kawaguchi, kawasan perusahaan Pelabuhan Klang, dekat sini pada Jumaat lalu.
ACP Ketua Polis Daerah Klang Utara, Vijaya Rao a/l Samachulu mengesahkan kejadian itu yang membabitkan pekerja kilang warga Bangladesh.
“Dari sumber pihak polis, dianggarkan lebih kurang 250 orang pekerja warganegara Bangladesh didapati mogok secara aman di luar bangunan kilang kerana tidak puas hati isu kelewatan pembayaran gaji oleh pihak kilang sejak bulan Jun 2024 hingga kini.
“Perbincangan dan rundingan antara pihak pengurusan kilang dengan wakil pekerja asing Bangladesh telah berlangsung dengan baik dan isu ini akan diselesaikan,” katanya dalam kenyataan media pada Sabtu.
Vijaya turut menyatakan tiada individu mengalami sebarang kecederaan atau kerosakan harta benda berlaku.
Pihak polis turut menyeru masyarakat supaya tidak menjadikan isu ini sebagai satu perkara sensitif yang boleh mengugat ketenteraman awam.
Pada November, pengurusan tertinggi syarikat pengeluar komponen plastik, Kawaguchi Manufacturing Sdn Bhd memberi jaminan masalah kelewatan pembayaran gaji yang dihadapi hampir 300 pekerja dapat diselesaikan menjelang hujung tahun ini.
Baca juga: