DHAKA: Ketua kerajaan interim Bangladesh, Muhammad Yunus hari ini mengumumkan Pilihan Raya Umum negara itu dijangka akan diadakan menjelang akhir 2025.
Beliau berkata semua itu dengan syarat pembaharuan pilihan raya dilaksanakan terlebih dahulu.
“Jika terdapat konsensus politik dan senarai pengundi disediakan dengan tepat bersama pembaharuan kecil, adalah mungkin untuk mengadakan pilihan raya menjelang akhir 2025.
“Jika pembaharuan tambahan diperlukan, dan dengan mengambil kira konsensus nasional, ia mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan lagi,” tambah pemimpin berusia 84 tahun itu dalam ucapan yang disiarkan secara langsung di televisyen.
Bangladesh kini diperintah oleh kerajaan interim yang diketuai Muhammad Yunus, penerima Hadiah Nobel, sejak Ogos lalu.
Beliau mengambil alih pentadbiran selepas bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina meletak jawatan dan melarikan diri ke India susulan protes besar-besaran.
Parti-parti pembangkang, termasuk Parti Nasionalis Bangladesh (BNP), salah satu daripada dua parti politik utama di negara itu selain Liga Awami, terus mendesak agar pilihan raya diadakan secepat mungkin bagi mengembalikan kestabilan politik.
Baca juga: