Oleh: Haikal Tajuddin
PULAU PINANG: Menjelang musim cuti persekolahan, Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) mengumumkan perkhidmatan bas ulang alik percuma kepada para pengunjung.
Dalam satu kenyataan hari ini, PBBPP berkata perkhidmatan percuma ini diberikan susulan siri pelancaran sejak tahun 2023 yang mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas di sekitar kawasan Bukit Bendera.
Jelasnya lagi, inisiatif ini langkah proaktif dalam memartabatkan sumber hijau untuk mengurangkan pelepasan karbon berlebihan di Pulau Pinang.
“Hal ini selari dengan Visi Penang 2030 untuk mewujudkan Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.
“Ia akan beroperasi selama lima hari bermula dari 25 hingga 29 Disember 2024,” jelasnya.
Pihak PBBPP turut berkata, perkhidmatan itu akan bermula dari pukul 9 pagi hingga 9 malam, dan digerakkan sebanyak lapan kali setiap hari bagi kedua-dua arah pada setiap 1 jam 30 minit.
Malahan, bas ini juga mesra kerusi roda bagi penumpang dengan keperluan khas.
“Penumpang boleh menaiki perkhidmatan ulang-alik di hentian bas 9 KOMTAR yang terletak di Jalan Ria (laluan bawah bersebelahan kiosk Rapid Penang) untuk sampai ke Stesen Bawah Bukit Bendera dan begitu juga sebaliknya.
“Penumpang dapat mengenal pasti bas ulang-alik dengan mudah kerana ia akan ditanda dengan jelas sebagai “Penang Hill Free Shuttle Service”.
“Selain itu, tempat pickup dan drop-off akan menampilkan visual yang berbeza untuk menjadikan perkhidmatan ulang-alik mudah dikenali,” jelasnya.
Baca juga: