Pembaharuan Pas My50 ditangguh sementara

KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), pengendali perkhidmatan Rapid KL, mengumumkan penangguhan sementara proses pembaharuan pas My50 di semua kaunter khidmat pelanggan rel, BRT, dan hab bas Rapid KL.

Penangguhan ini akan berkuat kuasa bermula 23 Disember 2024 hingga 31 Januari 2025.

Menurut Prasarana, langkah ini diambil bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penambahbaikan sistem penjualan pas My50.

“Usaha ini bertujuan meningkatkan keupayaan sistem agar dapat menampung jumlah pengguna My50 yang semakin bertambah dari masa ke masa.

“Namun, pembelian pas My50 baharu masih boleh dilakukan seperti biasa di semua kaunter terlibat sepanjang tempoh tersebut,” katanya.

Pengguna yang mempunyai baki hari dalam pas My50 sedia ada dinasihatkan untuk menghabiskan baki hari tersebut terlebih dahulu sebelum membuat pembelian pas baharu selepas tamat tempoh.

Prasarana turut menyatakan penghargaan kepada semua pengguna atas sokongan dan kerjasama sepanjang tempoh penambahbaikan ini.

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh diajukan melalui talian khidmat pelanggan Rapid KL di 03-7885 2585 atau dengan mengikuti laman media sosial rasmi Rapid KL untuk mendapatkan perkembangan terkini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat