Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Selepas 18 tahun ditahan di Kem Tahanan Guantanamo Bay, Cuba, dua rakyat Malaysia telah diserahkan kembali ke tanah air oleh Kerajaan Amerika Syarikat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan telah menerima kedua-dua banduan tersebut yang ditahan sejak 2006.
“Kerajaan telah merangka suatu program reintegrasi yang komprehensif khusus untuk kedua-dua individu ini, merangkumi bantuan perkhidmatan sokongan, kebajikan, dan saringan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dua rakyat Malaysia itu, Mohammed Nazir Lep dan Mohammed Farik Amin yang berdepan dengan lapan tuduhan di Mahkamah Tentera Amerika Syarikat, termasuk tujuh berkaitan pengeboman berkembar yang mengorbankan 202 orang di Bali pada Oktober 2002 dan pengeboman di Hotel JW Marriott di Jakarta pada Ogos 2003.
Mereka ditahan di Thailand pada 2003 dan dikurung secara bersendirian di lokasi rahsia yang dikendalikan oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat sebelum dipindahkan ke Teluk Guantanamo pada 2006.
Pada September lalu, Saifuddin mengumumkan bahawa kerajaan sedang mempercepatkan usaha membawa pulang dua warga Malaysia tersebut.
Beliau berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan beliau dengan Wakil Khas Hal Ehwal Guantanamo, Tina Kaidanow, di New York baru-baru ini.
Baca juga: