Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang nafi membuat sebarang tempahan makanan bagi penganjuran acara ‘Gathering & Annual Dinner’ jabatan itu.
Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang, Khairul Amri Ahmad berkata, terdapat pihak yang menyalahgunakan nama jabatan itu bagi tujuan tersebut seperti yang ditularkan menerusi aplikasi Whatsapp sejak semalam.
“Kami ingin menegaskan sebarang penggunaan nama, logo, dan identiti rasmi jabatan tanpa kebenaran adalah salah dan melanggar undang-undang.
“Pihak kami memandang serius penyalahgunaan nama jabatan untuk tujuan yang mencurigakan dan berkemungkinan melibatkan unsur penipuan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Susulan itu, Khairul Amri memberitahu, pihaknya telah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.
Beliau turut menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap mana-mana pihak yang menggunakan nama JKM bagi aktiviti atau acara tanpa pengesahan rasmi jabatan itu.
Terdahulu, tular di media sosial, seorang pemilik akaun bernama Yaa Sarilan mendakwa seorang kakitangan JKM dikenali sebagai ‘Hayati’ membuat tempahan makanan untuk jamuan makan hujung tahun jabatan itu.
Baca juga: