Pengurus Besar Perak FC umum letak jawatan

Oleh: Hanim Nadia

PENGURUS Besar Perak FC, Neow Choo Seong mengumumkan untuk melepaskan jawatannya di dalam pasukan itu berkuat kuasa 1 Januari tahun depan.

Choo Seong mengumumkan perkara itu dalam satu hantaran di akaun Facebooknya pada Isnin, tanpa menyatakan alasan beliau meletakkan jawatan yang digalas sejak tahun 2003.

“Dengan berat hati ingin saya mengumumkan bahawa saya tidak berhasrat untuk melanjutkan perkhidmatan selaku Pengurus Besar dan juga akan melepaskan jawatan Pengarah bersama Perak Football Club berkuatkuasa 1 Januari 2025.

“Saya akan sentiasa mendoakan yang terbaik dan bersama dengan para penyokong serta pasukan Perak FC. Mungkin selepas ini lebih tenang untuk saya menonton setiap perlawanan membabitkan pasukan Perak FC dari tempat penyokong dan bersama dengan para penyokong,” katanya dalam hantaran tersebut.

Choo Seong juga menjelaskan, walaupun hanya terlibat dengan pasukan utama selepas ketiadaan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) pada Oktober lalu, namun ia sudah cukup memberikan ruang dan peluang kepadanya untuk lebih memahami isu serta masalah industri bola sepak tempatan.

Berkongsi pengalaman bersama pasukan itu, Choo Seong berkata, sejak awal pembabitan bersama Perak FC pada 2023, tanggungjawab dan fokus ketika itu hanya tertumpu kepada pembangunan bakat-bakat muda di peringkat akar umbi.

Katanya, pada tahun 2023, Perak FC berjaya bergerak ke seluruh daerah di Perak melalui pelbagai program pembangunan dan pencarian bakat seperti Pusat Latihan Daerah (DTC), Grassroots Playday Festival, Piala Cheetah dan Piala XOX.

“Ia hasil kerjasama rapat serta sokongan daripada kerajaan negeri Perak, Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Pejabat Pendidikan Daerah dan semua sekolah yang terlibat.

“Pada awal tahun ini, kita juga telah menubuhkan Akademi Bola Sepak Perak FC untuk melatih bakat-bakat muda di peringkat umur bawah 15 tahun.

“Walaupun rata-rata pemain yang bersama Akademi Perak FC sebelum ini tidak mempunyai asas dan kemahiran yang tinggi, mereka telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan sehingga muncul Juara kategori Plate dalam Perlawanan Jemputan Antarabangsa Bawah 12 Tahun baru-baru ini,” katanya.

Selain itu, Choo Seong berharap Perak dapat memberi lebih banyak peluang buat pemain-pemain muda yang semakin meningkat naik seperti Moses Raj dan Daniel Hakimi.

Ini kerana pemain-pemain ini dilihat sebagai tonggak utama skuad senior pasukan itu pada masa hadapan.

“Apa-apa pun, saya sentiasa yakin dan percaya bahawa Perak mempunyai ramai bakat muda.

“Saya berharap pengurusan Perak FC akan terus memberi kepercayaan dan peluang kepada bakat-bakat muda kita seperti Daniel Hakimi (Kecik Maro), Moses Raj, Rafiq, Arifin, Haikal, dan ramai lagi,” ujarnya.

Pada 31 Julai lalu, CEO Perak FC, Bobie Farid Shamsudin membuat kenyataan mengejutkan apabila mengumumkan peletakan jawatannya.

Pengumuman tersebut dibuat menerusi Facebook peribadinya, Ariesham yang turut meluahkan kekecewaan terhadap sukan bola sepak.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat